Language: EN | 中文 | BM |

Blog

7 TIPS ELAK KEMALANGAN SEMASA MEMANDU
 
Tahukah anda? Sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Dis tahun lepas. Jumlah kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian dan kecederaan meningkat sebanyak 16 peratus setiap bulan.
 
Walaupun tidak ada sesiapa boleh mengagak bila kemalangan akan berlaku, namun sebagai pemandu dan pengguna jalan raya, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
 
Tips elak kemalangan ketika memandu
 
Berikut beberapa tips atau cara elak kemalangan ketika memandu yang boleh anda praktikkan:
 
  • Awasi titik buta
Sila peka dengan keadaan sekeliling anda ketika sedang memandu. Pastikan tiada kelibat kenderaan lain terutamanya motosikal di sebelah kereta anda ketika ingin membelok. Anda boleh awasi titik buta menerusi cermin pandang belakang dan juga cermin sisi. 

 
Pastikan juga kenderaan anda boleh dilihat oleh pengguna jalan raya lain terutamanya kenderaan berat seperti lori. Elak berada terlalu dekat atau betul-betul di sebelah lori kerana mereka mungkin tidak mampu melihat kelibat kenderaan anda.
 
  • Berada di lorong yang betul
Pastikan anda berada di lorong yang betul ketika sedang memandu. Jangan biarkan tayar kereta anda keluar daripada garisan putih kerana ia boleh mengelirukan dan membahayakan kenderaan lain.
 
Jika anda ingin membelok, pastikan anda sudah berada di lorong yang sepatutnya beberapa meter/ saat lebih awal. Jangan membelok secara mengejut dan pastikan juga lampu signal turut diberikan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya lain.
 
  • Pegang stereng dengan kedua-dua belah tangan
Jangan sesekali lepaskan stereng kereta anda ya. Sila pastikan stereng kereta anda dipegang dengan kedua-dua belah tangan (kecuali jika ingin menukar gear) dengan cara yang betul. Jangan silangkan tangan atau lakukan sebarang perkara yang boleh membahayakan pemanduan anda.
 
  • Tunggu beberapa saat selepas lampu isyarat bertukar hijau
Jangan terus memecut atau bergerak apabila lampu merah sudah bertukar hijau. Tunggu sekejap dan lihat semua arah untuk memastikan tiada kenderaan lain yang melanggar lampu isyarat. 
 
  • Selenggara enjin kereta mengikut jadual
Enjin merupakan antara komponen dalam kenderaan yang sangat penting untuk dijaga ya. Ingat, enjin yang gagal berfungsi dengan baik secara tiba-tiba boleh mengundang bahaya terutama jika berlaku di tengah-tengah jalan raya. 
 
Pastikan anda selenggara enjin kereta anda mengikut jadual yang ditetapkan. Selain enjin, pastikan juga tayar, lampu, wiper dan lain-lain turut diselenggara terutama jika ingin melakukan perjalanan jauh.
 
  • Jaga had laju
Jangan memandu dengan laju terutama di kawasan perumahan bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini. Contohnya, mungkin ada kanak-kanak yang melintas secara tiba-tiba, kereta keluar masuk dan lain-lain.


Pastikan anda sentiasa bersedia dan memandu dengan cermat sepanjang masa ketika melalui kawasan seperti ini ya.
 
  • Prihatin sesama pengguna jalan raya
Ini adalah perkara paling penting yang perlu dan boleh dilakukan oleh anda ketika sedang memandu. Pastikan anda prihatin sesama pengguna jalan raya yang lain, elak mementingkan diri sendiri dan bertolak ansurlah antara satu sama lain.
 
Jika anda ada melihat sebarang pemanduan yang merbahaya atau mencurigakan, maka anda bolehlah segera laporkannya kepada pihak berkuasa. Ia bukan sahaja demi menjaga keselamatan anda, bahkan juga pengguna lain.
 
Diharapkan perkongsian ini berguna dan bermanfaat untuk anda. Ingat, jalan raya adalah untuk kegunaan bersama. Tidak ada sesiapa yang inginkan kemalangan berlaku, jadi tidak salah jika kita mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko ia daripada terjadi. 
 
Dalam pada itu, pastikan juga kenderaan anda sentiasa dilindungi insurans. Ia bagi memastikan anda dapat menerima bantuan dan boleh membuat tuntutan sekiranya berlaku sesuatu. Ingat, jangan sesekali memandu kenderaan tanpa perlindungan insurans kereta mahupun motosikal serta roadtax yang sah ya!

09 Feb 2024